Tembelang Samy Vellu terbongkar
Apabila delegasi Indian Progressive Front (IPF)
dengan sebulat suara tidak mahu menyertai parti MIC dan PPP ( People’s
Progressive Party), President MIC yang mulut celupar dengan segera memberi
maklum balas dengan mengucapkan “tahniah” kepada Datuk M.G. Pandithan kerana
berjaya mementaskan sebuah drama yang hebat (“well-staged drama”).
Di sini kita tidak perlu susah payah meneka
adakah ada niat tersembunyi disebalik jemputan MIC kepada IPF untuk menyertai
parti MIC. Terima kasih kepada Samy Vellu kerana dia sendiri membuka pekung
didada niat sebenar MIC menjemput IPF menyertai parti itu. Jika MIC
benar-benar ikhlas menjemput IPF menyertai parti itu tanpa ada apa-apa niat
tersembunyi, Samy Vellu tidak seharusnya membuat kenyataan sedemikian jika
dia benar-benar ikhlas mahu orang India bersatu padu.
Sudah jelas kelihatan kenyataan yang dibuat oleh
Samy Vellu menunjukkan memang ada niat tersembunyi MIC kononnya mahu
menyatupadukan kaum India di Malaysia. Sama seperti Presiden UMNO yang mudah
melenting, apabila diketahui keputusan IPF menolak jemputan MIC dan PPP,
Presiden MIC menuduh Pandithan bersandiwara dan tidak mahu menghormati
keputusan IPF. Mungkin segala rancangan tersembunyi Samy Vellu tidak menjadi
sebab itu Samy Vellu tidak dapat menyembunyikan kekecewaannya lantas
melepaskan geram kepada Pandithan dan menuduhnya bersandiwara. Sama ada
Pandithan bersandiwara ia tidak penting, apa yang penting ialah niat jahat
Samy Vellu terbongkar.
Keengganan IPF menyertai MIC memberi tamparan
hebat kepada Samy Vellu. Kemungkinan dia akan dijadikan sebagai bahan ketawa
orang ramai kerana gagal menyakinkan IPF menyertai MIC. Kekuatan MIC semakin
lemah dan goyah ekoran kekalahan calon mereka di Lunas. Samy Vellu tahu
kedudukannya semakin terancam dan jika dia tidak berbuat sesuatu, kemungkinan
dia tidak akan dapat kepercayaan dari orang India lagi. Jemputannya untuk
mengajak IPF sertai semula MIC mungkin dilihat sebagai jalan untuk
mengukuhkan kedudukan parti BN dan disamping itu terus mendapat sokongan
orang India kerana melihat usaha ini adalah untuk menyatu padukan orang
India. Apabila IPF tidak mahu sertai MIC, Samy Vellu tidak dapat
menyembunyikan kekecewaannya dengan membuat kenyataan yang bodoh bukan kerana
IPF tidak mahu bekerja sama dengannya untuk menyatu padukan orang India
tetapi IPF telah melemahkan lagi kekuatan MIC dan kedudukan beliau sebagai
Presiden MIC. Siapa yang tidak takut kalau kedudukan Presiden sesebuah parti
itu semakin goyah. Inilah yang ditakuti oleh Samy Vellu. Mimpi ngeri Samy
Vellu menjadi kenyataan. Sebab itu Samy Vellu marah kepada Pandithan kerana
Pandithan menggagalkan niatnya yang tersembunyi.
Kalau saya ialah orang India, saya sudah tentu
kecewa dan berasa malu dengan sikap Samy Vellu yang sama seperti Presiden
UMNO, sering kali membuat kenyataan yang memperbodohkan diri sendiri dan
tidak menunjukkan kematangan seorang pemimpin mengeluarkan kenyataan yang
bertanggungjawab. Kenyataan Samy Vellu tidak boleh dipandang remeh kerana ia
jelas memperlihatkan adanya agenda tersembunyi beliau. Kita tidak tahu apa
agenda tersembunyi tersebut. Kita hanya sekadar meneka. Delegasi IPF membuat
keputusan yang sangat bijak. Mereka berasa was-was adakah mereka mendapat
tempat dan layanan yang baik jika mereka sertai MIC atau PPP.
Kaum India yang masih sokong MIC harus ambil
iktibar dari delegasi IPF yang memberi satu mesej yang penting kepada mereka
iaitu kenapa IPF tidak mahu menyertai MIC. Saya tidak mahu dituduh menghasut
orang India keluar dari MIC tetapi orang India harus menerima hakikat bahawa
MIC gagal membela nasib kaum India. Ini mungkin salah satu sebab kenapa IPF
tdak mahu sertai MIC. Ahli IPF ingin mahu lihat taraf hidup orang India
meningkat. Jika ahli IPF sertai MIC, mungkin usaha mereka tidak akan
tercapai. Jika ahli IPF berada dinaungannya sendiri, kemungkinan usaha mereka
untuk memperjuangkan nasib orang India lebih cerah dan suara orang India
menuntut pembelaan lebih kuat. Perlu ada parti seperti IPF yang bertindak
sebagai “watchdog” kepada MIC. Kalau IPF sertai MIC, sukar untuk lihat nasib
orang India akan lebih terbela kerana tidak ada siapa yang memantau MIC
selain PPP.
Kita semua tahu siapa Samy Vellu. Sudah 20 tahun
dia memimpin MIC, orang India mesti bertanya kepada Samy Vellu selain
tuntutan gaji minima, apakah Samy Vellu telah lakukan untuk membela nasib
bangsa India. Nasib orang India semakin terbiar dan dipinggirkan. Memang
malang nasib bangsa India. Apa yang kaum India mahu tunggu lagi? Saya tidak
memahami pemikiran kaum India. Samy Vellu memang tidak boleh diharap langsung
tetapi kaum India masih menaruh harapan kepada beliau untuk mempertingkatkan
taraf hidup kaum India.
Kita orang semua tahu selagi Samy Vellu jadi
Presiden MIC, ia seperti menunggu kucing bertanduk, Samy Vellu tidak dapat
menjanjikan kaum India dapat maju dan disegani oleh kaum lain. Mungkin kaum
India tidak ada alternatif, tiada satu parti yang benar-benar boleh membela
nasib dan kepentingan kaum India. Mahu tidak mahu sampai sekarang kaum India
terpaksa membayar harga yang tinggi dengan terus memberi kepercayaan kepada
MIC yang sememangnya tidak boleh diharapkan lagi. Disini timbul persoalan
mengenai kegagalan parti Keadilan mahupun DAP mendapatkan kepercayaan kaum
India bahawa PKN dan DAP ialah parti alternatif yang sesuai dan boleh
dijadikan sandaran kaum India mendapatkan pembelaan. Memang ada usaha PKN dan
DAP untuk mendapat sokongan kaum India tetapi ia tidak mencukupi. PKN dan DAP
harus bertindak dengan lebih proaktif lagi bagaimana cara mahu mendapatkan
kepercayaan dari kaum India untuk menyertai BA.
LTL
|